Saturday, May 30, 2009

Erti Sebuah Kasih Sayang

Hanya tinggal seminggu lagi ketika itu. Aku gembira akhirnya masa yang ditunggu- tunggu akan tiba jua. Aku akan berkahwin dengan Diaz dan akan menjadi miliknya yang sah dalam beberapa hari lagi. Percintaan selama 3 tahun akan kami tamatkan dengan membina sebuah masjid yang indah yang pastinya penuh dengan bunga-bunga cinta.

Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kebahagiaan yang tidak terhingga ini. Kad jemputan telah habis diedarkan. Barang-barang hantaran juga telah tersedia di birai katil bahkan pelamin juga sudah dihias. Boleh dikatakan semuanya telah siap hanya menunggu hari bahagia sahaja.

Aku dan Diaz baru sahaja menamatkan pengajian diploma kami dan Diaz mahu kami segera berkahwin. Lamaran Diaz aku sambut dengan perasaan terkejut dan aku menerimanya tanpa berfikir panjang. Aku yakin dengan keputusanku. Ibu dan ayah juga tidak membantah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya hati ini.
Kek perkahwinan masih lagi belum ditempah. Aku perlu ke pekan untuk menempah kek itu. Aku mahu pergi sendirian sahaja pada mulanya tetapi ibu melarang kerana mengikut adat bakal pengantin perempuan tidak boleh keluar rumah dalam masa terdekat sebelum hari pernikahan. Selepas puas memujuk akhirnya ibu membenarkan aku keluar dengan syarat aku harus ditemani oleh saudara terdekat. Kebetulan sepupuku, Sasa ada di rumahku pada ketika itu dan aku meminta dia untuk menemani aku.

Kami pergi ke pekan dengan menaiki motosikal yang di pandu oleh Sasa. Tiba- tiba motosikal itu berhenti ditengah jalan. Menurut Sasa, motosikal itu rosak. Aduh!! Macam mana ni?? Aku mengeluh sendirian. Tempat itu agak sunyi dan bersemak. Sasa memeriksa motosikal tersebut dan mendapati motosikal itu ternyata tidak rosak sebaliknya hanya kehabisan petrol. Sasa menepuk dahinya sendiri seakan mengakui kesilapan dirinya yang tidak memeriksa motosikal itu terlebih dahulu sebelum keluar tadi.

Kami mengambil keputusan untuk menolak motosikal itu sampai ke pekan dan mengisi petrol disana. Tiba- tiba seorang lelaki muncul dari celahan semak dan menerkam ke arah kami. Sasa berjaya memboloskan diri dari cengkaman lelaki bertopeng itu dan terus melarikan diri. Aku menjerit ketakutan. Di dalam hati, aku bersyukur kerana Sasa dapat melarikan diri dan dia akan mendapatkan pertolongan dari orang ramai. Aku cuba sedaya upaya untuk melawan lelaki ganas yang hendak merogolku itu tetapi kudratku tidak mampu menolak tubuhnya yang jauh lebih besar itu.

Aku menjerit sekuat hatiku. Malangnya tiada siapa yang mendengar. Bantuan dari Sasa tidak mampu lagi ku tunggu. Semuanya telah hancur. Aku kehabisan tenaga untuk terus menghalang niat terkutuk lelaki durjana itu. Inikah nasibku? Maruahku diragut pada saat aku akan mendirikan rumah tangga dengan insan yang aku benar- benar sayangi. Apa yang harus aku lakukan sekarang? Lelaki durjana itu meninggalkan aku setelah mendapat apa yang dia mahukan. Tidak lama kemudian Sasa tiba bersama kedua orang tuaku.

Menurut ayah, perkara ini harus di rahsiakan. Tiada siapa harus tahu hal ini termasuk Diaz. Diaz pasti tidak dapat menerima hakikat ini. Mawar yang sudah pudar warnanya tidak mungkin akan dihinggapi sang kumbang lagi. Malangnya perkara ini
tidak dapat ditutup selamanya. Pada hari pernikahanku, Diaz datang tanpa baju melayu dan tanpa perarakan dari kaum keluarganya. Sebaliknya Diaz datang bersama Sasa dan memutuskan untuk membatalkan pernikahan kami. Aku faham segalanya. Perkara yang ingin dirahsiakan bukan rahsia lagi.

Di saat aku lemah tidak berdaya dan terpaksa menahan perasaan malu yang tidak terhingga, adikku Amran datang menghulurkan bantuan. Dia bersedia mengahwiniku walaupun jarak usia kami jauh berbeza. Umurnya baru 18 tahun tetapi sanggup berkorban demi aku. Aku tahu dia sangat menyayangi aku sebagai kakaknya walaupun aku bukan saudara kandungnya. Ibu dan ayah mengambil aku di rumah anak yatim 21 tahun yang lalu. Tetapi aku terkejut dengan niat sucinya itu. Demi menutup aib keluarga dia sanggup membuat keputusan sebesar itu.

Ayah bertegas pernikahan harus dilangsungkan walaupun terpaksa menukar pengantin lelaki. Ibu dan ayah bersetuju dengan keputusan Amran dan mereka telah berkorban demi aku dan demi menjaga maruahku. Tetamu sudah memenuhi ruang halaman rumah kami. Aku menurut sahaja apa kata ibu dan ayah. Mungkin itu yang terbaik. Aku terharu dengan pengorbanan mereka sekeluarga terhadapku.

Sehari kemudian aku mendapat khabar tentang Diaz. Diaz telah berkahwin dengan Sasa. Aku juga mendapat tahu bahawa motosikal yang aku dan Sasa gunakan untuk ke pekan beberapa hari yang lalu rupanya tidak rosak mahupun kehabisan petrol. Semuanya telah dirancang. Lelaki bertopeng yang telah memusnahkan hidupku juga telah dapat ditangkap. Diaz! Sungguh keji hatimu. Aku langsung tidak menyangka semua ini angkara kau dan Sasa.

Akukah yang bodoh? Telah banyak temanku yang menasihati aku agar menjauhi mu Diaz, tetapi aku tidak mengendahkannya kerana aku percaya pada cinta kita. Aku percaya hubungan kau dengan Sasa telah berakhir sebelum aku menerimamu sebagai kekasihku. Rupanya ini hanyalah helah semata-mata. Sasa! Akhirnya kau berjaya membalas dendam padaku. Kau berjaya memusnahkan hidupku dan kau berjaya melunasi segala iri hatimu padaku. Aku akan jadikan semua yang telah berlaku sebagai pengajaran dalam meneruskan perjalanan hidupku. Terima kasih atas pengalaman berharga ini.

Adikku Amran! Hatimu sungguh suci. Pengorbananmu murni dan ketulusan hatimu tidakku sangsi. Perjalanan kisah kita baru bermula dan telah ku siapkan sebuah lembaran baru untuk kita meniti hari- hari seterusnya. Aku akan menguatkan semangat ku untuk terus bernafas di dunia ini demimu. Demi seorang adik yang tidak putus memberikan harapan dan keyakinan.

Seperti katamu, hidup adalah sebuah harapan dan harapan adalah milik setiap insan. Jangan pernah berputus asa selagi kita belum berusaha, berusaha mengharungi segala ombak cabaran yang mendatang. Tuhan tidak akan menguji hambanya pada sesuatu yang tidak mampu di tanggung oleh hambanya. Oleh itu jangan menyerah kalah. Ya!! Benar katamu Amran. Aku tidak akan berputus asa dalam menjalani hidup ini.

Sekarang kau bukan lagi adikku, kaulah suamiku dan engkaulah yang layak berada dalam hatiku. Terima kasih adikku, terima kasih sayangku.

No comments:

Post a Comment